Polisi-f

Dasar Perhutanan Sabah

Dasar Perhutanan Sabah telah dirangka untuk memenuhi keperluan kesemua pihak yang ada kaitan dengan perhutanan, dan selari dengan amalan-amalan pengurusan hutan mampan yang diterima-pakai di peringkat antarabangsa.

Matlamat Dasar ini adalah untuk mencapai pengurusan hutan mampan. Strategi-strategi yang dirumuskan dalam tahun 2005 untuk mencapai matlamat ini adalah seperti berikut:

Matlamat Dasar Perhutanan SabahSabah Forestry Policy Goals
a.

Mengisytiharkan tanah yang mencukupi di kawasan yang strategik di seluruh Sabah sebagai Hutan Simpan Kekal selari dengan konsep penggunaan tanah rasional untuk memastikan:

  1. Keadaan iklim dan fizikal Sabah yang baik, penyelenggaraan kawasan tadahan air, kualiti kesuburan tanah dan persekitaran, pemuliharaan biodiversiti dan alam semulajadi dan kerosakan banjir dan hakisan tanah yang minima; kawasan hutan sedemikian dikelaskan sebagai HUTAN PERLINDUNGAN.
  2. Bekalan berterusan hasil-hasil hutan untuk kegunaan seharian manusia dan sumber bahan mentah industri; kawasan hutan sedemikian dikelaskan sebagai HUTAN KOMERSIL.
  3. Pemuliharaan kawasan hutan yang mencukupi untuk rekreasi, pendidikan dan penyelidikan; kawasan hutan sedemikian dikelaskan sebagai HUTAN LIPUR.
b. Mengurus Hutan Simpan Kekal untuk memaksimakan faedah ekonomi, sosial dan persekitaran kepada negeri Sabah dan penduduknya berdasarkan kepada prinsip-prinsip pengurusan hutan mampan.
c. Meneruskan program pembangunan hutan melalui pemuliharaan hutan dan penanaman semula mengikut teknik silvikultur yang diluluskan untuk mengoptimakan produktivtiti hutan simpan kekal.
d. Memastikan penggunaan sumber sumber hutan dengan berkesan daripada tanah yang bukan hutan simpan kekal melalui perancangan teliti dan dengan kerjasama agensi pembangunan tanah sebelum tanah berkenaan diberikan hak-milik dalam usaha untuk memaksimakan pulangan kepada penduduk melalui kaedah penuaian dan pemprosesan yang sesuai.
e. Menggalakkan penuaian dan penggunaan secara berkesan semua jenis hutan dan menggalakkan pembangunan industri berasaskan kayu yang bersesuaian untuk memaksimakan penggunaan sumber, menyediakan peluang–peluang pekerjaan dan menghasilkan pendapatan tukaran asing.
f.

Menggalakkan pembangunan perdagangan dan perniagaan hasil hasil hutan.

g. Menggalakkan penyertaan bumiputera secara berkesan di dalam industri berasaskan kayu selari dengan polisi di peringkat Negeri dan Persekutuan.
h. Melaksanakan dan menyokong program penyelidikan intensif di dalam pembangunan perhutanan untuk mencapai hasil optima dan pulangan daripada penuaian dan penggunaan hutan simpan kekal dan juga memaksimakan pelaburan pendapatan daripada aktiviti-aktiviti pembangunan perhutanan.
i. Melaksanakan dan menyokong program latihan komprehensif dalam bidang perhutanan di semua peringkat untuk menyediakan pekerja terlatih yang mencukupi untuk memenuhi keperluan sektor perhutanan.
j. Menggalakkan penglibatan sektor swasta di semua peringkat latihan dan penyelidikan perhutanan dengan tujuan untuk meningkatkan profesionalisme dalam bidang perhutanan dan industri perhutanan.
k. Menggalakkan kesedaran yang lebih baik di kalangan orang ramai berkaitan dengan pelbagai nilai dan kegunaan hutan menerusi program pendidikan dan kesedaran awam.
l. Menggalakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi untuk pengurusan sumber hutan negeri secara berkesan.
m. Menggalakkan perhubungan dan kerjasama erat di peringkat antarabangsa untuk meningkatkan pengurusan dan pembangunan perhutanan sumber sumber hutan negeri.